Kenapa Gagal Hamil?
 Keinginan memiliki cahaya mata tentunya meluap-luap lebih-lebih lagi 
setelah bertahun-tahun mencuba namun masih tidak berjaya. Kepada yang 
berhadapan dengan masalah seperti ini, adalah penting untuk anda 
mengetahui bahawa ada banyak faktor yang boleh menghalang kehamilan.
Untuk pengetahuan, di kalangan pasangan suami isteri yang subur, 
peratusan kejayaan hamil selepas percubaan bulan pertama hanyalah 
sekitar 25 peratus. Ini bermakna 75 peratus daripada pasangan perlu 
mencuba beberapa kali sebelum berjaya hamil. Ramai tertanya-tanya 
mengapakah dia masih gagal hamil walaupun telah banyak kali mencuba 
tanpa jemu. 
Antara faktor penyebabnya ialah:
 Usia wanita tersebut
Dalam zaman yang serba moden ini, ramai wanita mendirikan rumah tangga 
hanya selepas berjaya memperoleh kerjaya yang diinginkan. Akibatnya, 
usia sudah ‘banyak’. Tahu kah anda bahawa peningkatan usia boleh 
mengurangkan kemampuan seseorang wanita itu untuk hamil. Setelah berusia
 30 tahun, tahap kesuburan wanita semakin berkurangan dari setahun ke 
setahun.
 Usia dan tahap kesihatan pasangan
 Tahap kesuburan lelaki juga berkurangan apabila usia mereka meningkat. 
Walau bagaimanapun, penurunan tersebut tidaklah secepat wanita. Biasanya
 tahap kesuburan lelaki mula menurun selepas berusia 40 tahun.
Gaya hidup
 Pelbagai faktor yang ada kaitan dengan gaya hidup memberikan kesan 
terhadap keupayaan seseorang wanita itu untuk hamil. Antaranya ialah 
faktor pemakanan, senaman, tahap stres yang sedang dialami, tabiat tidur
 dan macam-macam lagi. Untuk memastikan berjaya hamil, anda mestilah 
betul-betul sihat. Maknanya, anda perlu berhenti merokok, tidak 
mengambil minuman keras, mengamalkan diet seimbang setiap hari, tidur 
yang cukup dan senaman secara berkala.
 Stres yang melampau
 Tekanan perasaan yang melampau boleh menutup peluang anda untuk 
memiliki cahaya mata sendiri. Sama ada berusaha terlalu keras untuk 
mendapatkan anak ataupun terlalu komited dengan kerja, kedua-duanya 
boleh menyebabkan anda sukar hamil. Semakin tertekan pasangan suami 
isteri itu maka semakin susah bagi mereka untuk mendapatkan anak.
Pakaian
 Bagi lelaki, pemakaian pakaian terutamanya seluar dan seluar dalam yang
 ketat boleh menyebabkan sperma yang dihasilkan kurang berbanding dengan
 lelaki yang berpakaian longgar. Jadi, ini bermakna sekiranya masih 
belum ada anak dan suami gemar memakai seluar dalam, elokkan bertukar 
kepada memakai ‘boxer’ agar lebih longgar.
Masalah hormon
 Sesetengah wanita tidak ada masalah untuk hamil tetapi tubuh mereka 
tidak mampu menghasilkan progesterone yang mencukupi bagi mengekalkan 
kehamilan. Oleh itu, sekiranya anda risau tentang kemungkinan ada 
masalah hormon ataupun masalah fizikal yang menyukarkan kehamilan, 
segeralah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
Bilangan sperma yang rendah
 Ada sesetengah lelaki bermasalah untuk menghasilkan sperma. Akibatnya 
isteri mereka sukar hamil. Oleh yang demikian, suami perlulah menjalani 
beberapa ujian terhadap sperma mereka untuk mengetahui keadaan 
sebenarnya.
Pengambilan kafein
 Sekiranya anda mengambil lebih daripada satu atau dua cawan kopi setiap
 hari, anda sebenarnya mengurangkan keupayaan diri untuk hamil. Ada 
kajian mendapati bahawa jumlah kafein yang ada dalam tubuh boleh 
mengganggu kemampuan telur untuk melekat dalam uterus.
 Ingat, jika anda masih gagal hamil setelah beberapa bulan mendirikan 
rumah tangga, segeralah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan 
lanjut. Dengan bantuan peralatan moden dan kemajuan sains dan teknologi,
 memiliki anak daripada benih sendiri tidak mustahil. Yang pentingnya 
usaha.
No comments:
Post a Comment