Tuesday, July 31, 2012

Kepentingan Sel Induk Tali Pusat Bayi

Kepentingan Sel Induk Tali Pusat Bayi


Tahukah anda bahawa isi tali pusat dan darah tali pusat boleh menyelamatkan anda, ahli keluarga mahupun orang ramai? Menerusi rawatan perubatan, sel induk yang terkandung di dalamnya berkemampuan menyelamatkan nyawa ribuan pesakit!

Darah tali pusat adalah darah yang berada di dalam salur tali pusat bayi. Ia boleh diambil apabila tali pusat tersebut dipotong iaitu sejurus selepas bayi dilahirkan. Secara umumnya, terdapat dua jenis sel induk yang boleh ditemui daripada tali pusat. Jenis yang pertama adalah Sel Induk Hematopoietic atau HSC (ditemui di dalam darah tali pusat). HSC adalah multipoten iaitu boleh membeza dan membentuk beberapa komponen darah seperti sel darah merah, sel darah putih dan platelet.

Oleh kerana itulah, darah di dalam tali pusat bayi adalah sumber sel induk yang sangat bernilai secara genetiknya untuk diri bayi itu dan ahli keluarganya. Selain darah tali pusat, HSC juga boleh ditemui dalam sum-sum tulang dan darah peripheral. Jenis sel induk yang kedua pula dikenali sebagai Sel Induk Mesenchymal (MSC). Berbeza dengan HSC, MSC boleh ditemui di dalam Jeli Wharton (isi tali pusat). MSC turut bersifat multipoten di mana ia boleh membeza dan membentuk sejumlah rangkaian sel-sel dan tisu seperti tulang, jantung, saraf, kornea lemak dan tulang rawan.

Masa kini, penyelidikan tentang sel induk semakin giat dijalankan dan telah terbukti mampu mengubati pelbagai jenis penyakit darah seperti leukemia, talasemia, lymphoma, aplastic anemia dan sebagainya. Pada masa akan datang, sel induk mungkin boleh digunakan untuk memperbaiki kerosakan otak atau saraf tunjang.

Umum mengetahui bahawa prosedur untuk mendapatkan sum sum tulang daripada penderma yang tiada pertalian darah (sekiranya spesimen yang sepadan ditemui) boleh menelan perbelanjaan sehingga RM100 ribu. Oleh yang demikian, darah dan isi tali pusat merupakan alternatif bagi sum-sum tulang dan darah peripheral dalam transplantasi (pemindahan) sel induk. Hal ini kerana HSC dan MSC yang akan dipindahkan kepada pesakit semasa pemindahan mampu untuk menjana sel dan komponen baru yang sihat.

Bagi golongan berisiko, menyimpan sel induk daripada darah tali pusat bayi adalah sangat digalakkan kerana sel-sel induk darah tali pusat ini mampu mengubati penyakit yang dialami bila mana ia diperlukan. Walau bagaimanapun, pada masa kini, orang ramai telah mula menyedari kebaikan dan kepentingan untuk menyimpan darah tali pusat dan isi tali pusat. Bagi mereka, ia tidak semestinya tertakluk kepada golongan berisiko sahaja.

Hal ini kerana dengan menyimpan sel induk daripada darah tali pusat, ia umpama insurans biologi bagi anak-anak dan keluarga yang mungkin dapat digunakan pada masa hadapan.

Sel induk bagi seseorang bayi itu akan menjamin padanan 100 peratus bagi dirinya sendiri sekiranya dia memerlukan pemindahan darah. Sel induk yang dimilikinya juga berkemungkinan sesuai untuk kegunaan ahli keluarga terdekatnya seperti ibu bapa, adik beradik dan saudara rapat (tertakluk kepada padanan sel). Namun yang demikian, peluang padanan yang sesuai semakin berkurangan bagi saudara-mara yang jauh.

Sama seperti prosedur perubatan yang lain, tiada jaminan 100 peratus yang boleh diberikan terhadap keberhasilan penggunaan sel induk darah tali pusat dalam menyembuhkan sesuatu penyakit. Ia banyak bergantung kepada beberapa faktor tertentu seperti kualiti darah tali pusat, peluang padanan, jenis penyakit, keadaan, umur dan tahap pesakit dan lain-lain.


Darah tali pusat dan isi tali pusat diambil terus daripada tali pusat bayi yang telah dipotong iaitu sejurus selepas bayi selamat dilahirkan. Proses pengambilan sel induk darah tali pusat ini adalah mudah, cepat dan selamat. Perlu diketahui, ia sama sekali tidak mengganggu proses kelahiran bayi. Malah, ia juga tidak mendatangkan kesakitan atau mengundang kemudaratan kepada ibu mahupun bayi. Secara teorinya, tiada had masa untuk menetapkan tempoh simpanan sel induk darah tali pusat tersebut. Apa yang pasti, darah tali pusat dan isi tali pusat yang telah diproses akan disimpan di dalam tangki simpanan fasa wap cecair nitrogen yang bersuhu ekstrem sejuk iaitu di bawah suhu 190 darjah Celsius. Sel di bawah suhu ini boleh disimpan untuk selama-lamanya sehinggalah ia diperlukan bagi tujuan pemindahan sel induk.

Buruk Baik Kahwin Di Usia Muda

Buruk Baik Kahwin Di Usia Muda

 

Ramai kalangan anak muda yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga selepas menemui insan yang dirasakan sesuai untuk dijadikan pasangan.

Ia juga dikenali sebagai ‘nikah gantung’. Selain kerana sudah menemui belahan jiwa mereka, satu lagi alasan adalah kerana untuk mengelakkan dosa maksiat. Hakikatnya, nikah gantung memerlukan semangat yang kuat baik dari segi mental mahupun fizikal.

Perlu bersedia luar dan dalam agar hubungan rumah tangga berlangsung seperti biasa. Ramai yang kata seronok berkahwin tetapi usah sekali-sekali lupakan cabaran yang bakal dilalui di masa hadapan.
Adatlah, selagi namanya manusia cubaan dan rintangan sudah tersedia. Lebih-lebih lagi usia masih muda dan sudah punya famili, banyak perkara perlu diambil kira. Oleh itu apa yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan. Berikut adalah persoalan dan penyelesaian apabila ingin berkahwin di awal usia.

Apakah Kebaikan Berkahwin Muda?
Mungkin ramai yang tidak menyedari kahwin awal mampu memelihara maruah wanita serta keluarganya dari fitnah dan zina. Lebih-lebih lagi ketika berada di pusat pengajian yang sama. Sudah pasti bila ada masa terluang janji temu akan diatur bagi melepas kerinduan. Sekali dua mungkin boleh bertahan tetapi masuk ketiga dan seterusnya, adakah keadaannya masih sama? Ditambah pula jika ‘berdua’ sudah pasti ada yang ketiga iaitu ‘syaitan’. Dengan berkahwin, segala-galanya terjaga.
Baik dari segi syariat, akhlak, agama dan macam-macam lagi. Dari sudut yang lain, ibu bapa tidak perlu lagi risau kerana sudah ada orang yang sah di sisi agama untuk menjaga keselamatan, keperluan dan kebajikan anak perempuannya.

Perlukah Berkahwin Di Awal Usia?
Tidak dinafi kan, pelajar-pelajar universiti ini ada yang menjalin hubungan lebih dari dua tahun, malah hingga enam tahun. Jadi, dalam tempoh yang begitu lama, agak rugi sekiranya menghabiskan masa bertemu kerana ingin melepaskan rindu tetapi dalam masa yang sama menambah dosa apabila melakukan ‘adegan tambahan’.

Jalan paling baik adalah bertanya secara jujur kepada pasangan sama ada dia bersedia untuk mendirikan rumah tangga atau sebaliknya. Sekiranya dia bersetuju maka usahakan ke jalan kebaikan tetapi jika dia berdolak-dalih dan gagal berikan alasan yang munasabah sebaiknya lakukan solat istikharah.

Pertimbangkan untuk memutuskan hubungan kerana dia gagal menunjukkan kesungguhannya. Biarpun ada yang menentang berkahwin di usia muda tetapi cubalah memandangnya dari sudut yang positif.

Mengapa Tidak Bertunang Dahulu?
Nyata ia adalah soalan yang popular. Bertunang samalah seperti berpacaran, masih terikat dengan syariat agama kerana keduanya masih bukan mahram yang sah. Segala-galanya terbatas dan ‘lesen’ bertunang itu sebenarnya adalah sekadar adat sahaja.

Paling tidak memberitahu masyarakat bahawa gadis itu telah ‘ditanda’ oleh seseorang. Lagipun, ada hadis yang mengatakan sekiranya seseorang anak gadis telah menemui pasangan yang sesuai dengannya maka segerakanlah perkahwinan untuknya. 

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa baginda Rasulullah saw telah bersabda :
“Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redha i agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu, maka nikahkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan demikian, maka akan timbullah fi tnah dan kerosakan”.(hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084)

Bagaimana Jika Tidak Direstui?
Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mendapatkan restu ibu bapa di kedua belah pihak. Cuba yakinkan mereka mengenai kebaikan kahwin awal dan pendekatan yang akan kalian lakukan selepas berkahwin kelak.

Bagaimanapun, sekiranya mereka masih tidak setuju dengan keputusan berkenaan sebaiknya jangan diteruskan. Ini kerana redha ibu bapa itu penting untuk anak teruskan kehidupannya. Ingatlah bahawa perkahwinan bukan untuk sehari dua, ia untuk selamanya.

Mungkin banyak perkara yang dibangkitkan mengenai tanggungjawab, kewangan atau ciri-ciri kepimpinan. Di sinilah kalian perlu buktikan yang terbaik kepada mereka bahawa masing-masing telah cukup matang untuk melayari alam rumah tangga.

Bagaimana Pula Dengan Pandangan Masyarakat?
Lazimnya inilah masalah yang sering mengganggu. Sering memikirkan persepsi masyarakat daripada persepsi Yang Maha Berkuasa. Bercinta, berjumpa dan berkasih tidak takut tetapi bila hendak mendirikan rumah tangga masih teragak-agak. Bimbang dengan kata-kata orang kerana di zaman yang serba moden ini, masih ada penuntut universiti yang memilih untuk berkahwin.

Sudah pasti ada perkara yang buruk berlaku membuatkan mereka terdorong untuk mengakhiri zaman bujang dalam masa yang singkat. Itu suara-suara sumbang yang biasa kedengaran tetapi yakinlah jika niat itu baik maka Allah akan mudahkan. Lagipun, selama mana mereka mampu mengata. Takkan selamanya jadi biarkan sahaja. Teruskan dengan niat yang murni kerana Allah sentiasa bersama dengan hamba-hamba-Nya yang sabar.

Mampukah Bahagia ?
Sebenarnya, usia, tempoh perkahwinan malah apa sahaja bukanlah jaminan untuk mencapai bahagia. Semuanya tergantung kepada pasangan itu sendiri untuk berusaha ke arahnya. Sekalipun ada di antaranya terpaksa berjauhan kerana masing-masing menginap di asrama yang berlainan tetapi itulah yang mengajar erti kerinduan, erti kasih sayang yang sebenar. Berselisih faham itu biasa. Kata orang lumrah dalam rumah tangga tetapi cuba cepat-cepat selesaikannya. Menariknya lagi masing-masing mengetahui tentang tujuan di masa hadapan. Sudah mengetahui diri terikat dengan lafaz ijab dan kabul maka berakhirlah istilah mencari calon yang meletihkan.

Cara Bahagi Masa Antara Belajar Dengan Rumah Tangga?
Mudah sahaja kalau tahu cara asasnya. Waktu belajar berikan tumpuan sepenuhnya, jangan main-main dan berusahalah untuk berjaya. Tetapi bila dengan suami, tugas sebagai pelajar itu dilupakan seketika. Laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan untuk melayannya sebaik mungkin. Tidak bermakna sepanjang masa perhatian harus dialihkan padanya. Apabila dia keluar atau tidur maka buatlah aktiviti yang anda suka. Senang cerita, kehidupan tak banyak yang berbeza dan usah sekali-sekali anggap ia sebagai bebanan.

Info Menu Untuk Anak

Info Menu Untuk Anak

Menyediakan sendiri makanan untuk anak adalah tindakan yang bijak dan perlu diamalkan oleh semua ibu mahupun bapa. Namun, beberapa perkara perlu dititikberatkan agar makanan yang diberi itu bermanfaat dan bukan memudaratkan.

1. Penyediaan Makanan
Seboleh-bolehnya, sediakan makanan segar untuk anak-anak. Sekiranya anda menyejukbekukan makanan anak, sejukkan dengan cepat sebaik anda menyediakannya. Penyejukbekuan merupakan cara paling baik untuk mengekalkan vitamin dalam makanan yang disediakan.

2. Tekstur Makanan
Bagi bayi yang baru diperkenalkan kepada makanan pejal, mereka perlulah diberi makanan yang dikisar halus dan tidak terlalu pekat. Anda bolehlah memberi anak makanan yang sedikit kasar apabila usianya mencecah tujuh hingga sembilan bulan. Pada usia ini, anda digalakkan hanya melecek makanan untuk bayi dan tidak perlu dikisar halus. Apabila bayi anda sudah pandai memegang barang, berilah dia makanan jejari yang lembut. Anak pasti sukakannya kerana kini dia sudah boleh memegang sendiri makanannya.

3. Nutrien Penting
Pastikan makanan yang anda beri pada anak kaya dengan pelbagai zat dan mineral seperti zat besi, kalsium, vitamin C, vitamin A dan asid lemak Omega 3.

4. Makanan Bayi Bukan Makanan Orang Dewasa
Makanan bayi perlulah semula jadi tanpa sebarang perisa tambahan seperti garam, gula ataupun MSG. Ingat, yang sedap di tekak ibu bapa belum tentu baik untuk kesihatan anak. Malah, rasa sedap inilah yang selalunya memudaratkan kesihatan.

Info : Vitamin C dan sesetengah vitamin B akan hilang perlahan-lahan apabila makanan dipotong, dimasak atau didedahkan

 

Hidangan Tengah Hari Yang Hebat

Hidangan Tengah Hari Yang Hebat

 

Perkara 1
Pastikan menu anda ada buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Selain daripada kaya dengan serat dan vitamin, kedua-duanya menjadikan pinggan anak anda berwarna-warni. Anak tentu suka.
Perkara 2
Kanak-kanak perlukan lemak untuk memastikan mereka kekal sihat. Lemak juga membuatkan anak kenyang. Akan tetapi, jangan terlebih beri lemak pada anak. Lemak boleh didapati daripada keju, daging, minyak dan kekacang.
Perkara 3
Jangan lupa tentang kepentingan bijirin. Antara yang termasuk dalam kategori bijirin ialah roti, nasi dan pasta. Semuanya mengandungi nutrien yang baik untuk tumbesaran anak. Jadi, jangan lupa hidangkannya pada anak.
Perkara 4
Seimbangkan pengambilan makanan anak. Apabila bercerita tentang pemakanan yang seimbang, maknanya makanan yang diambil mestilah meliputi semua kumpulan makanan. Misalnya, mesti ada bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan sumber protein dan produk tenusu.
Perkara 5
Sebenarnya, hidangan tengah hari yang lengkap bukan hanya membabitkan makanan tetapi juga minuman. Ramai kanak-kanak gemar mengambil susu bersama hidangan tengah hari mereka. Tetapi sekiranya anak anda tidak begitu, jangan risau kerana susu boleh ditukar dengan air kosong. Akan tetapi elakkan daripada memberi anak minum minuman berkarbonat semasa makan tengah hari.
Perkara 6
Pastikan hidangan tengah hari anak tidak sama setiap hari. Hal ini penting bagi mengelakkan mereka rasa bosan. Selain itu, kepelbagaian hidangan makanan tengah hari dapat membekalkan nutrien yang berbeza kepada anak. 

 

10 Tip Didik Anak Cemerlang

10 Tip Didik Anak Cemerlang

 

1. Konsisten dengan peraturan yang ditetapkan kepada anak-anak.
2. Apabila anak bercerita kepada anda, jadilah pendengar yang setia.
3. Bersikap jujur kepada anak.
4. Memperuntukkan masa berkualiti untuk bersama anak.
5. Pandanglah anak dengan penuh kasih sayang.
6. Berikan penghargaan setiap kali anak melakukan perbuatan baik (pujian, pelukan, ciuman dan hadiah)
7. Tenangkan anak anda setiap kali dia memerlukannya.
8. Hargailah permainan kesayangan anak anda.
9. Berbicaralah dengan anak anda.
10. Ajaklah anak bersembahyang berjemaah dengan anda

 

Kerap Buang Air Kecil, Rutin Biasa Bakal Ibu

Kerap Buang Air Kecil, Rutin Biasa Bakal Ibu

Kekerapan membuang air kecil bukan sahaja dialami oleh wanita hamil malah wanita yang tidak hamil juga. Bagi bakal ibu mereka akan berhadapan dengan kebiasaan membuang air kecil pada minggu keenam kehamilan hingga berakhirnya trimester pertama. Ada juga yang mengalaminya ketika kandungan memasuki usia 12 ke 14 minggu. Mengapa hal sebegini berlaku kepada wanita hamil?

Sebenarnya semasa hamil kandungan darah bakal ibu akan meningkat dua liter lebih dari biasa. Tambahan darah ini digunakan untuk membina rahim. Ia juga berfungsi membantu organ tubuh untuk bekerja lebih kuat, menggalakkan pertumbuhan jaringan payudara dan gusi ibu serta mengangkut oksigen dan makanan ke janin.

Peningkatan jumlah darah yang mendadak ini mengakibatkan cecair yang perlu ditapis ginjal dikeluarkan dari tubuh dalam bentuk air kencing. Manakala pening katan jumlah darah yang berlaku di bahagian pinggul menyebabkan kantung rahim menjadi penuh dan perlu dikosongkan sekerapnya.
Ginjal dan saluran air kencing membesar kerana peningkatan kadar hormon progesteron yang berlaku sebaik sahaja janin berada dalam kandungan. Begitu juga dengan ukuran rahim yang semakin membesar sehingga mendesak pundi kencing yang berada di bawah rahim.

Akibatnya, daya menahan di bahagian pundi kencing menjadi berkurangan sehingga ia perlu kerap dikosongkan. Begitu juga dengan diabetes kehamilan yang ber laku sepanjang kehamilan juga menggalakkan wanita hamil kerap membuang air kecil.

Cara Mengatasi :
Kurangkan pengambilan cecair yang menggalakkan perkumpulan air kencing misalnya minuman berkafien, kopi, teh mahupun air berkarbonat.

Banyakkan minum air di siang hari dan kurangkan pengambilannya pada sebelah malam. Pastikan jumlah air yang diambil mencukupi. Sekiranya anda perlu berulang ke tandas, ia hanya akan dilakukan di siang hari dan bukannya pada sebelah malam sehingga mengganggu tidur anda. Pastikan pundi kencing anda benar-benar kosong setiap kali membuang air kecil.

Pastikan anda membuang air kecil sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja agar anda tidak perlu bersusah payah mencari tandas ketika dalam perjalanan pergi dan balik.

Berhati-hati sewaktu membuang air kecil. Sekiranya anda merasakan seakan terbakar pada alat sulit, ia merupakan tanda berlakunya jangkitan kuman pada saluran pundi kencing yang kerap berlaku kepada wanita hamil. Segera dapatkan nasihat daripada doktor jika mengalami masalah sedemikian.

Gangguan Hormon Ketika Hamil
Gangguan hormon di kalangan wanita hamil boleh menjejaskan tahap kesihatan wanita hamil baik dari segi emosi mahupun fi zikalnya. Peningkatan kadar hormon estrogen akan menghasilkan kulit tidak sekata dan berbelang. Keadaan ini dinamakan ‘topeng kehamilan’. Rangsangan kurang aktif dari Melanocyt Stimulating Hormon (MSH) dari kelenjar endokrin di otak akan merangsang kulit untuk menghasilkan pigmen pada kulit. Akibatnya, wanita hamil akan mengalami pigmentasi yang menyebabkan kulit kehitaman di bahagian tertentu seperti, leher, ketiak dan muka.

Apabila keadaan ini berlaku, bakal ibu boleh mengatasinya dengan mengelakkan diri dari terdedah secara langsung dengan sinaran matahari. Gunakan payung atau topi untuk melindungi diri dari pancaran matahari. Boleh juga menggunakan krim pelindung matahari untuk mengurangkan warna gelap pada kulit yang terlibat.

Perubahan hormon juga boleh menyebabkan wanita hamil mengalami sendi longgar. Hormon relaksin yang meningkat bertujuan untuk melonggarkan ligamen agar jumlahnya boleh membesar selaras dengan bertambahan saiz janin. Kesan sampingan daripada keadaan ini adalah menyebabkan semua bahagian sendi pada tubuh menjadi longgar malah wanita hamil kerap mengalami kepedihan dan mudah cedera ketika terjatuh.

Bagi mengurangkan masalah ini, wanita hamil boleh melakukan senaman ringan yang khusus untuk mengatasi masalah pedih dan nyilu. Semasa bergerak, berjalan mahupun melakukan aktiviti cubalah belajar untuk lebih berhati-hati agar tidak jatuh dan cedera. Sekiranya berlaku kecederaan otot, segera dapatkan bantuan fi sioterapi untuk mengurangkan rasa sakit.

Semasa hamil juga, wanita mudah menjadi pelupa. Hal ini kerana hormon oksitoksin di dalam tubuh memunculkan kesan amnesia atau pelupa kepada ibu. Namun, kenaikan hormon seks akan mempengaruhi bahagian otak yang berfungsi dalam ingatan istimewa.

Sebaiknya cuba catat aktiviti yang bakal dijalankan dalam gajet ataupun diari anda. Berusaha untuk belajar bertenang dan jangan panik sekiranya mengalami penurunan daya ingatan kerana selepas bersalin ianya akan pulih semula.

 

Kenapa Gagal Hamil?

Kenapa Gagal Hamil?

Keinginan memiliki cahaya mata tentunya meluap-luap lebih-lebih lagi setelah bertahun-tahun mencuba namun masih tidak berjaya. Kepada yang berhadapan dengan masalah seperti ini, adalah penting untuk anda mengetahui bahawa ada banyak faktor yang boleh menghalang kehamilan.

Untuk pengetahuan, di kalangan pasangan suami isteri yang subur, peratusan kejayaan hamil selepas percubaan bulan pertama hanyalah sekitar 25 peratus. Ini bermakna 75 peratus daripada pasangan perlu mencuba beberapa kali sebelum berjaya hamil. Ramai tertanya-tanya mengapakah dia masih gagal hamil walaupun telah banyak kali mencuba tanpa jemu. 

Antara faktor penyebabnya ialah:

Usia wanita tersebut
Dalam zaman yang serba moden ini, ramai wanita mendirikan rumah tangga hanya selepas berjaya memperoleh kerjaya yang diinginkan. Akibatnya, usia sudah ‘banyak’. Tahu kah anda bahawa peningkatan usia boleh mengurangkan kemampuan seseorang wanita itu untuk hamil. Setelah berusia 30 tahun, tahap kesuburan wanita semakin berkurangan dari setahun ke setahun.

Usia dan tahap kesihatan pasangan
Tahap kesuburan lelaki juga berkurangan apabila usia mereka meningkat. Walau bagaimanapun, penurunan tersebut tidaklah secepat wanita. Biasanya tahap kesuburan lelaki mula menurun selepas berusia 40 tahun.
 
Gaya hidup
Pelbagai faktor yang ada kaitan dengan gaya hidup memberikan kesan terhadap keupayaan seseorang wanita itu untuk hamil. Antaranya ialah faktor pemakanan, senaman, tahap stres yang sedang dialami, tabiat tidur dan macam-macam lagi. Untuk memastikan berjaya hamil, anda mestilah betul-betul sihat. Maknanya, anda perlu berhenti merokok, tidak mengambil minuman keras, mengamalkan diet seimbang setiap hari, tidur yang cukup dan senaman secara berkala.

 Stres yang melampau
Tekanan perasaan yang melampau boleh menutup peluang anda untuk memiliki cahaya mata sendiri. Sama ada berusaha terlalu keras untuk mendapatkan anak ataupun terlalu komited dengan kerja, kedua-duanya boleh menyebabkan anda sukar hamil. Semakin tertekan pasangan suami isteri itu maka semakin susah bagi mereka untuk mendapatkan anak.
 
Pakaian
Bagi lelaki, pemakaian pakaian terutamanya seluar dan seluar dalam yang ketat boleh menyebabkan sperma yang dihasilkan kurang berbanding dengan lelaki yang berpakaian longgar. Jadi, ini bermakna sekiranya masih belum ada anak dan suami gemar memakai seluar dalam, elokkan bertukar kepada memakai ‘boxer’ agar lebih longgar.
 
Masalah hormon
Sesetengah wanita tidak ada masalah untuk hamil tetapi tubuh mereka tidak mampu menghasilkan progesterone yang mencukupi bagi mengekalkan kehamilan. Oleh itu, sekiranya anda risau tentang kemungkinan ada masalah hormon ataupun masalah fizikal yang menyukarkan kehamilan, segeralah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
 
Bilangan sperma yang rendah
Ada sesetengah lelaki bermasalah untuk menghasilkan sperma. Akibatnya isteri mereka sukar hamil. Oleh yang demikian, suami perlulah menjalani beberapa ujian terhadap sperma mereka untuk mengetahui keadaan sebenarnya.
 
Pengambilan kafein
Sekiranya anda mengambil lebih daripada satu atau dua cawan kopi setiap hari, anda sebenarnya mengurangkan keupayaan diri untuk hamil. Ada kajian mendapati bahawa jumlah kafein yang ada dalam tubuh boleh mengganggu kemampuan telur untuk melekat dalam uterus.
Ingat, jika anda masih gagal hamil setelah beberapa bulan mendirikan rumah tangga, segeralah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan lanjut. Dengan bantuan peralatan moden dan kemajuan sains dan teknologi, memiliki anak daripada benih sendiri tidak mustahil. Yang pentingnya usaha.